Monday, March 29, 2010

Krisis dalaman PAS: Mari Merenung Kembali

Salah satu artikel yang pernah dikeluarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sama-sama kita renungkan..

RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA


1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.

Saturday, March 6, 2010

Risalah terbuka untuk PKR

by HusinLempoyang

Isu keluar parti dikalangan ADUN dan AP terus hangat dibicarakan dan dibincangkan. Isu ini kali pertama muncul di Perak selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu sangat mendukacitakan banyak pihak sehingga mencemarkan institusi di Raja dan kehakiman. Kini, ia berulang kembali di Pulau Pinang dan juga di Perak. Malangnya, hampir kesemua kes ini melibatkan mereka yang bertanding di atas tiket PKR.

Ini telah memberikan kesan atau impak yang sangat besar kepada PKR dalam soal kepimpinan dan kredibiliti parti. Pada pandangan penulis, sejak awal lagi PKR adalah parti serpihan UMNO di mana ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan peristiwa 98 akan menyertai parti ini (keAdilan) pada ketika itu. Secara tidak langsung budaya gerombolan telah berjangkit sedikit sebanyak kepada parti ini dan menyebabkan mereka yang sebahagiannya lupa terhadap perjuangan parti dan mengkhianati perjuangan rakyat.

Penulis juga mendapati bahawa terkadang PKR terlalu mudah memilih calon untuk sesuatu jawatan dalam parti mahu pun bertanding pada pilihanraya. Secara umumnya, budaya UMNO masih berleluasa di dalam PKR. Tidak perlu penulis menulis semula tentang latar belakang mereka yang keluar parti ini. Mengapa setelah ini berlaku baru sibuk mengatakan soal masalah dan disiplin? Adakah lembaga disiplin hanya sebuah lambang? Isu ini sepatutnya tidak timbul. Kesalahan tidak boleh hanya di tuju kepada mereka ini. Kepimpinan juga harus dipersalahkan kerana tidak tegas dan tidak teliti dalam merancang sesuatu. Kurangnya strategi dan permuafakatan di antara ahli juga menyebabkan masaah ini terus berlaku.
Penulis juga meramalkan bahawa didalam PKR, masih terdapat budaya politik wang. Penulis mengatakan ini kerana berdasarkan situasi yang berlaku sekarang. ‘Seolah-olah tidak mampu lagi untuk menanggung, maka dilepaskan’. Ini kerja politik apa? Soal moral dikalangan ahli juga sangat mengecewakan. Saya sangat bersetuju dengan Tulang Besi dalam isu ini(sila rujuk http://www.marhaen.info/v2/mar_a_abdrahmantalib363.html).

Ketika ini pula, PAS dilihat sangat tenang walaupun suatu ketika dahulu heboh dengan isu UG, namun ianya telah selesai setelah beberapa siri perjumpaan dan perbincangan dan juga ‘kemarahan’ yang di zahirkan oleh Pemimpin Tertingginya (ketegasan yang wajar dicontohi oleh PKR).

Dalam isu seperti ini, PAS lebih bijak memilih calon dan mengatur strategi bagi menghadapi peristiwa seperti ini. Seperti contoh, bai’ah telah diinstitusikan bagi menghalang mereka ini mencipta ‘kejutan’ di kemudian hari.
Secara jelas, tidak boleh disamakan diantara PAS dan PKR. Namun begitu, tidak salah untuk PKR belajar daripada PAS mengenai sebahagian perkara yang wajar dipraktikkan didalam PKR untuk kebaikan Pakatan Rakyat; wadah perjuangan rakyat. PKR harus melakukan rejuvenasi dalam partinya agar virus-virus merbahaya ini dapat diusir segera daripada terus merebak merosakkan parti yang sangat berpengaruh kini. PKR dilihat lebih mampu menguasai pemuda-pemuda dan mahasiswa yang berfikiran liberal dan neutral untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Apa yang pasti, tindakan segera perlu diambil untuk mereka yang sedang melakukan masalah supaya proses memantapkan Pakatan Rakyat berlangsung tanpa masalah seperti ini.

(Ini adalah pandangan dan andaian penulis semata - mata)

BENAR LAGI MEMBENARKAN – RAKYAT MERDEKA NEGARA PERKASA